Thursday, August 27, 2009

arak membinasakan manusia...

Di zaman Nabi Idris a.s. apabila diangkat amalan-amalan jahat anak
Adam dari Bumi ke langit, maka para Malaikat berkata "Anak-anak
Adam(manusia) itu, Engkau jadikan mereka makhluk pilihanMu di bumi
tetapi mereka mendurhakaiMu". Allah SWT berkata "Kiranya Aku turunkan
kamu ke sana dan Aku bentuk kamu seperti pembentukan mereka juga,
nescaya kamu akan melakukan sebagaimana mereka lakukan juga". Para
Malaikat menjawab "Maha Suci Engkau wahai Tuhan, takkan sampai kami
mendurhakaiMu!". Maka Allah SWT menyuruh para Malaikat memilih dua
Malaikat yang terbaik di antara mereka untuk dikirimkan ke bumi.

Maka dua Malaikat dipilih iaitu Harut dan Marut, iaitu dua Malaikat
yang paling Soleh dan banyak ibadatnya kepada Allah SWT. Sebelum
diturunkan ke bumi Harut dan Marut dilengkapkan dengan syahwat dan
keinginan seperti manusia. Mereka diutus ke bumi untuk mengadili
perkara antara manusia dengan hak dan keadilan. Allah SWT mengingatkan
mereka agar menjauhi dari Syirik, pembunuhan tanpa hak, perzinaan dan
meminum arak.

Setiap hari Harut dan Marut mengadili manusia sebagaimana yang
diperintahkan oleh Allah SWT. Demikianlah keadaannya hingga sampai
sebulan lamanya, maka mereka pun mula terfitnah. Ujian Allah SWT pun
datang.

Pada suatu hari datang seorang wanita jelita berketurunan Parsi,
apabila Harut dan Marut berhadapan dengan wanita itu, hati mereka mula
berdebar-debar. Maka seorang darinya bertanya kepada yang lain "Adakah
engkau jatuh hati kepada wanita jelita tadi seperti yang berlaku ke
atas diriku". Jawab rakannya "Benar". Lalu Harut dan Marut pun cuba
memikat dan merayu pada wanita jelita itu tetapi wanita jelita itu
menolak dan pulang ke rumahnya.

Keesokan harinya, wanita jelita itu datang lagi dan berkata "Baiklah!
Jika kamu mahukan aku, maka hendaklah kamu menyembah berhala, lalu
membunuh Si Pulan itu serta minum arak!". Harut dan Marut terkejut dan
menolak ajakan wanita jelita itu kerana ingat akan pesanan Allah SWT.
Wanita jelita itu pun kembali semula ke rumahnya.

Pada hari ke-3, wanita jelita itu datang lagi dan dalam tangannya ada
sebuyung arak, sedangakan Harut dan Marut masih inginkan wanita jelita
itu juga. Wanita jelita itu masih mahu permintaannya semalam juga. Dia
tidak akan menyerahkan dirinya melainkan permintaannya ditunaikan.
Kedua Malaikat itu berkata kepada dirinya "Menyembah kepada selain
dari Allah SWT adalah dosa besar, membunuh tanpa hak juga adalah dosa
besar, yang paling ringan adalah antara ketiganya ialah minum arak".

Maka, Harut dan Marut pun memutuskan untuk meminum arak. Apabila telah
mabuk, mereka menangkap wanita jelita itu lalu melakukan zina. Secara
kebetulan, kelakuan mereka dilihat oleh seorang yang berada di situ,
lalu untuk menyelamatkan rahsia mereka dari terbongkar, mereka
membunuh orang itu. Ada riwayat yang menyambung cerita itu mengatakan,
dalam keadaan mabuk itu Harut dan Marut menyembah berhala yang
ditunjukan wanita jelita tersebut.

Itulah suatu kisah sebagai renungan buat kita semua, semoga ianya
menjadi pengajaran kepada kita semua dalam melalui liku-liku kehidupan
yang semakin mencabar. Kadang-kadang ada orang Islam yang tanpa segan
silu minum arak di khalayak ramai malah mereka merasa bangga dengan
perbuatan mereka. Begitulah kuatnya pengaruh arak sehinggakan Malaikat
yang soleh dan dibeklakan syahwat dan kehendak seperti manusia juga
akhirnya tumpas. Apakah manusia tidak mahu insaf dari meminum arak?
Walaupun tahu arak itu memudaratkan, mengapa masih meminumnya?

Wallah hu a'lam….

--
"Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku kerana Allah Tuhan
Seluruh Alam"

No comments:

Post a Comment